Minggu, 15 Maret 2009

KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB


Latar Belakang

Umar al-Khattab dilahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi. Pada zaman Jahiliah, beliau adalah seorang sadagar dan duta kaum Quraisy. Beliau adalah seorang yang berani, tabah, tidak mengenal binggung dan ragu. Beliau digelar al-Faruq oleh nabi setelah beliau membawa sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kali dalam Sejarah Islam. Beliau merupakan khalifah kedua dalam Sejarah Islam setelah dipilih sendiri oleh Abu Bakar. Beliau adalah khalifah yang pertama yang digelar sebagai "Amirul Mukminin".

Pembaharan dalam Pentadbiran

Pembentukan Majlis Syura

Umar telah menubuhkan Majlis Syura yang merupakan lembaga (Majlis Perunding Negara) yang tertinggi. Ia terbahagi kepada 2 majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Anggota Majlis Syura Tertinggi terdiri daripada Uthman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Waqqas Bin Muaz Bin Jabal. Semua perkara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama. Majlis Syura juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Melalui amalan sistem syura, Umar telah membuka peluang dan kebebasan yang seluasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka dari kebaikan dan keadilan Islam sehingga beliau menganggap bahawa manusia yang tidak dapat atau tidak mahu memberi pendapat adalah manusia yang tidak berguna.

Perbahagian Wilayah Islam

Umar telah membahagikan Kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pemerintahan Islam. Ia terdiri daripada Hijaz, Syiria, Iran, Iraq, Mesir, Palestine, Juzirah dan Madinah. Setiap wilayah dilantik beberapa orang pegawai. Mereka dikehendaki datang ke Mekah pada setiap tahun untuk membuat laporan setelah menunaikan haji. Orang ramai pula berpeluang untuk mengadukan hal tentang pegawai-pegawai yang ditugaskan itu. Antara pegawai yang terkenal ialah Muawiyah Bin Abu Sufian, Amru Bin al-As, Zaid Bin Smyah dan sebagainya. Di antara jawatan utama yang dilantik di setiap wilayah adalah Wali (Gabenor) yang menjadi ketua pentadbir awam dan panglima tentera, pengarah perbendaharaan, pemungut cukai, ketua polis, hakim (Qadi). Sebelum seseorang Gabenor dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta-benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga diisytiharkan bahawa tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal.

Memperbaharui Undang-undang Pentadbiran Tanah

Apabila wilayah jajahan Islam menjadi semakin luas, beberapa pembaharuan dalam undang-undang pentadbiran tanah telah diperkenalkan. Misalnya, di Iraq, Syria dan Mesir, segala tanah awam (sawafi) adalah hak kerajaan tempatan dan segala hasil daripada tanah-tanah itu akan digunakan untuk membiayai kemudahan awam negara. Tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduk Iraq tidak boleh dirampas tetapi dikenakan cukai oleh Kerajaan Islam. Tanah-tanah milik pemerintah Rom di Mesir dan Syiria dirampas dan dibahagikan kepada para petani. Tentera/Umat Islam tidak dibenarkan mengambil tanah-tanah di negara jajahan melainkan pembelian. Hal ini berbeza dengan amalan sebelumnya di mana tanah-tanah jajahan akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

Pembaharuan dalam Ekonomi

Kadar dan sistem pungutan cukai telah diubah. Cukai dikenakan mengikut perbezaan jenis tanaman dan kualiti tanah. Sebagai contoh, kadar cukai untuk tanaman gandum adalah 2 kali ganda daripada cukai untuk tanaman barli. Ladang-ladang subur dikenakan cukai yang lebih tinggi. Peraturan-peraturan yang tidak adil telah dihapuskan. Umar sering meninjau daripada golongan Dhimmi dan pegawai-pegawai pemungut cukai untuk menentukan sama ada cukai/jizyah yang dikenakan menyusahkan mereka atau tidak. Sistem pemungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharaan negara bertambah. Umar turut memajukan sektor pertanian negara. Rakyat digalakkan untuk membuka tanah-tanah baru. Hak milik tanah-tanah pertanian diserahkan kepada sesiapa yang mahu mengusahakannya. Namun hak tersebut akan terlupus jika ia gagal menunjukkan hasil dalam tempoh 3 tahun. Beberapa pengairan telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq untuk meningkatkan lagi hasil pertanian. Umar turut memberikan perhatian supaya amalan penindasan ke atas petani tidak berlaku.

Pembaharuan Pentadbiran Ketenteraan

Umar adalah khalifah pertama yang memberikan gaji kepada tenteranya. Tentera Islam telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu tentera tetap dan sukarela. Tentera tetap diberikan gaji, pakaian seragam dan keluarga mereka turut mendapat bantuan. Pusat-pusat ketenteraan telah ditubuhkan di bandar-bandar utama seperti Madinah, Kufah, Basrah, Mawsil, Fustat, Hims dan sebagainya. Tentera-tentera akan dikenakan peraturan dan disiplin tertentu yang sesuai dengan ajaran Islam. Pusat-pusat tentera ini kemudiannya telah tumbuh sebagai pusat kebudayaan Islam. Umar telah mengarahkan Abdullah Bin Qaisy untuk membina kubu-kubu pertahanan di sempadan yang menghadap negara musuh demi keselamatan. Tentera-tentera diwajibkan menjalani latihan ketenteraan seperti menunggang kuda, berjalan kaki tanpa kasut dan sebagainya. Ia bertujuan untuk menanamkan semangat perjuangan pada setiap masa. Umar juga menubuhkan jabatan penyiasatan jenayah tentera rahsia.

Pembaharuan Bidang Kehakiman

Umar telah mengetatkan syarat-syarat perlantikan seseorang untuk menjadi hakim supaya golongan yang layak sahaja akan memikul tugas tersebut. Seseorang itu mestilah mempunyai ilmu yang lengkap, dihormati oleh masyarakat. Gaji untuk hakim telah dinaikkan supaya mengelakkan kecenderungan menerima rasuah. Para hakim tidak dibenarkan melibatkan diri dalam perniagaan. Jabatan kehakiman telah dipisahkan sepenuhnya daripada jabatan-jabatan lain dan mempunyai mahkamah keadilan dan kadi-kadi khas untuk menguruskan perbicaraan serta peraturan-peraturan kehakiman yang tertentu.

Pembaharuan Dalam Bidang Sosial

Polisi Baru untuk Golongan Dhimmi

Golongan Dhimmi ialah orang-orang bukan Islam yang bernaung di bawah negara Islam dengan dikenakan ckai jizyah. Umar telah memperkenalkan beberapa polisi baru ke atas golongan ini supaya kedudukan sosioekonomi dan politik mereka tetap dijaga. Beliau telah menetapkan cukai jizyah dan cukai tanah yang rendah kadarnya supaya tidak menyusahkan mereka.

Taraf dan hak awam ke atas golongan ini diberikan sama seperti yang dinikmati oleh masyarakat Islam. Golongan Dhimmi yang masih menentang Kerajaan Islam akan dihalau keluar negara. Namun, harta-benda mereka tidak akan dirampas manakala harta benda yang tidak boleh dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh Kerajaan Islam.

Taraf Baru untuk Golongan Hamba

Beberapa pembaharuan yang dilakukan untuk menjaga kepentingan sosial, taraf dan kedudukan golongan hamba dalam masyarakat. Hal ini bertujuan supaya mereka tidak dihina / ditindas. Hanya orang-orang yang benar-benar terlibat menentang Islam dalam peperangan sahaja akan dijadikan hamba. Hal ini bermakna penduduk awam dalam negara yang dijajah akan terus dibenarkan hidup bebas.

Hamba perempuan yang menjadi ibu pula tidak boleh dijual beli sewenang-wenangnya seperti harta-harta yang lain. Hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari anggota keluarganya yang lain. Oleh itu, hamba yang berkeluarga mestilah dibeli / dijual bersama-sama dengan anggota keluarganya.

Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam hal-hal tertentu. Pegawai-pegawai yang tidak menghormati kebajikan hamba di bawah jagaannya akan dikenakan tindakan oleh Umar. Beliau pernah melucutkan jawatan salah seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.

Menggalakkan Kegiatan Keilmuan dan Pelajaran

Pelbagai langkah telah dijalankan untuk mengembangkan pengajaran al-Quran. Guru-guru telah disediakan bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan mereka dihantar ke serata tempat yang memerlukannya serta diberikan gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk mengajar pelajaran al-Quran di seluruh wilayah Islam.

Umat Islam telah diwajibkan untuk menghafal surah-surah tertentu dalam al-Quran yang menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti Surah al-Baqarah, al-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan yang menghafal seluruh isi kandungan al-Quran akan diberi pelbagai ganjaran sebagai usaha untuk menggalakkan mereka menghafal kandngan al-Quran.

Kemudahan-kemudahan Lain

Umar bertanggungjawab memulakan sistem kalendar Islam dengan menggunakan Tahun Hijrah yang umat Islam gunakan hingga kini. Umar adalah khalifah yang pertama memperkenalkan pasukan polis yang digelar "Andath".

Hukum buang daerah telah diperkenalkan oleh Umar. Baginda telah menjatuhkan hukuman buang daerah ke sebuah pulau ke atas Abu Mihjan Thaqafi kerana bersalah minum arak.

Baginda turut membangunkan kota-kota baru seperti Basrah, Kufah, Fustat dan Mausil. Basrah (Iraq) dibina pada tahun 14 H. Penduduk asalnya berjumlah 800 orang telah meningkat kepada 100,000 orang. Dalam zaman Kerajaan Umayyah, ia mempunyai penduduk seramai 120,000 orang. Kufah di Iraq mempunyai penduduk asal seramai 40,000 orang. Umar menunjukkan minatnya kepada pembinaan kota ini dengan menyediakan sendiri sebahagian daripada pelan dan peta kota itu. Jalan raya yang dibina seluas 60 kaki dan masjid negerinya boleh memuatkan seramai 40,000 orang jemaah. Umar pernah menggelarkan kota Kufah sebagai "Rasulul-Islam" atau pusat Islam. Fustat dibina oleh Amru Bin al-As atas arahan Umar. Ia dipanggil sebagai kota Islam yang paling indah selepas kota Baghdad.

Umar telah membina banyak masjid dan memerintahkan gabenor Islam supaya membina sekurang-kurangnya sebuah masjid di setiap bandar. Beliau juga mengarahkan pembinaan pejabat-pejabat Baitul-Mal di seluruh wilayah Islam. Rumah-rumah rehat untuk pengembara turut dibina.

Pembaharuan Dalam Ekonomi

Memajukan Sektor Pertanian

Umar telah membina tali air dan terusan supaya hasil pertanian bertambah. Di antaranya ialah Terusan Amirul Mukminin (Mesir) yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laur Merah sepanjanag 69 batu dari Bandar Fustat. Di Iraq, dibina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigris) dengan Bandar Basrah.

Satu kaji selidik telah dilangsungkan di Iraq untuk memudahkan penaksiran cukai dan menentukan jenis tanaman untuk pertanian. Rakyat digalakkan membuka tanah-tanah pertanian dan akan dikenakan syarat bahawa hak milik ke atas tanah tersebut akan ditarik balik sekiranya gagal mendatangkan hasil dalam masa 3 tahun.

Baitul-Mal

Umar telah menubuhkan Baitul-Mal untuk menyimpan harta dan khazanah kerajaan. Sumber utama kewangan negara dikutip daripada orang Islam melalui zakat dan usyur (zakat tanaman). Daripada orang bukan Islam, cukai diperolehi melalui jizyah dan kharaj (cukai tanah). Baitul-Mal juga memperolehi hasilnya daripada al-Fai iaitu harta benda rampasan daripada pihak musuh tanpa peperangan dan ghanimah iaitu harta rampasan perang.

Rumusan

Umar adalah seorang pentadbir yang amat cekap dan bijak serta banyak melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran negara Islam. Dalam zaman pemerintahannya, beliau berjaya memperluaskan wilayah Islam dan membebaskan rakyat yang ditindas oleh penjajahan Parsi dan Rom. Pemerintahan Umar dianggap sebagai "zaman keemasan Kerajaan Islam". Beliau telah memperkenalkan sebanyak 41 buah pembaharuan berdasarkan al-Quran dan Hadis dan digelarkan Awliat-i-umar. Beliau telah meninggal dunia dalam Zulhijah 23 H setelah dibunuh oleh seorang hamba berbangsa Parsi bernama Fairuz.

[Main]

1

Tidak ada komentar:

Posting Komentar